PUTRAJAYA: Harga kereta baru sudah mula turun sebanyak RM2,200 hingga RM17,000 sejak tahun lalu, bergantung kepada modelnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. 

Beliau berkata, pengurangan harga selanjutnya akan direalisasikan menerusi liberalisasi industri automotif hasil daripada pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). 
Mustapa berkata, duti import kereta dari Jepun dan Australia, yang kini masing-masing sebanyak 15 peratus dan 13.6 peratus, akan diturunkan secara beransur-ansur kepada sifar menjelang 2016. 


Menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA), duti import ke atas kereta sudah dimansuhkan mulai 1 Januari 2010. 

Malaysia sedang berunding dengan Kesatuan Eropah, Turki dan Bangladesh untuk memeterai FTA, kata Mustapa pada sidang media di sini, hari ini. 

- BERNAMA